Wednesday, December 14, 2011

CINTA JARAK JAUH

Bismillahirrahmanirrahim

Firman Allah SWT :
Maksudnya : “Barang siapa yang bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu. “ ( Surah at Thalaq ayat 2 – 3 )



Husna (bukan nama sebenar) menatap album perkahwinannya. Sedar tidak sedar sudah menjangkau dua tahun usia pernikahan mereka. Walau mungkin jarak beratus kilometer memisahkan mereka lantaran kerana dihambat tugasan sebagai pendidik yang memerlukan dia berkhidmat di daerah usang, Kampung Pulut Durian (bukan nama sebenar) namun perasaan rindu tidak juga memudar, malahan semakin menebal berbanding kali pertama dahulu. Mungkin benar, semakin lama hidup bersama, mengharungi susah dan senang sepanjang usia perkahwinan, membuatkan dua hati kian dekat, biarpun jarak tujuh lautan memisahkan.

Husna yakin , isteri mana yang hatinya tidak merindui suami yang jauh di mata. Lebih-lebih lagi, perpisahan yang terjadi itu bukan kerana suka-suka, tetapi lebih kepada memenuhi peranan dan tugas suami dan dirinya mencari nafkah keluarga. Juga, tanggungjawab kepada agama yang mulia. Tambahan pula, dia sukar mendapat kelulusan pertukaran tempat berkhidmat. Malah kadang-kadang muncul perasaan jahat tidak sanggup bertukar kerana sayang dengan suasana kerja yang telah lama diperolehi dan rasa stabil dengan medan amal dakwah di sini.

Sebelum walimah dahulu, Husna tidak menjangkakan dia bakal menempuh perhubungan jarak jauh (PJJ). Berpisah bukan sehari dua, tetapi memakan masa berbulan-bulan, malah kini menjangkau dua tahun lamanya. Paling kurang pun, mereka bertemu melepas rindu hanya di hujung-hujung minggu. Terselit rasa kasihan kepada suami yang menjadi ‘weekend husband’. Kadang dia sendiri runsing dengan makan pakai suami nun jauh di sana.

Namun Husna optimis dengan percaturan Allah swt . Dia cuba memanfaatkan ketiadaan suami dengan melengkapkan diri dengan kemahiran asas sebagai isteri dan bakal ibu agar dapat membantu suami mengemudi bahtera rumahtangga. Semasa cuti sekolah ini, dia memperbaiki kemahiran memasak dan kemahiran menghias diri buat tatapan suami yang dikasihi. Apabila singgah ke kedai buku, dia tidak lupa untuk mengemaskini buku-buku tentang kemahiran kekeluargaan yang terbaru di pasaran. Dia sedaya upaya mencedok segala ilmu dan maklumat menjadi ibu untuk mendidik diri dan keluarga sakinah, mawaddah warahmah.

Tutt…tuttt. Deringan alat penghubung cinta mereka selama ini berbunyi.

“Assalamualaikum sayang” kedengaran suara suami tercinta, Uwais (bukan nama sebenar) di hujung corong telefon.

“Wa’alaikumsalam warahmatullahiwabarakatuh” Jawab Husna.

Berbunga hati mendengar kalam agung yang selalu mengikat cinta mereka berdua sekian lama. Suaminya bukan hanya sekadar menebarkan doa kesejahteraan itu kepada kenalan malah kepada orang yang melewati mereka. Hatta, hendak masuk ke bilik tidur sendiri pun, kalimah penaut kasih sayang itu tetap tidak lekang dari bibir suaminya. Bagamaina dia tidak jatuh cinta dengan lelaki akhir zaman ini? Lelaki yang selalu menitipkan pesan-pesan Junjungan Besar dalam kehidupan sehari-hari.

Perbualan mereka berpindah dari satu tajuk ke tajuk yang lain. Tentang umi, abi, adik-adik, tempat kerja, mesyuarat, daurah dan tidak terkecuali berkisar tentang itik dan ayam kampung peliharaan abi di belakang rumah. Semua cerita mereka mahu ungkap bersama. Husna dan Uwais sering berhubung dan mengemaskini ‘laporan’ kehidupan masing-masing, sama ada melalui perbualan di telefon, sms, emel atau lain-lain medium perhubungan yang canggih dan terkini. Sesekali cerita Uwais diselang selikan dengan hilai tawa lembut dari isterinya.

“Sayang…” Uwais memecahkan perbualan tiba-tiba dengan suara serius.

“Kenapa abang?” Husna mula menumpukan perhatian terhadap butir bicara yang bakal meluncur dari bibir suaminya.

“Sampai bila kita hidup berjauh begini?”. Suasana menjadi sunyi tiba-tiba.

“Ermm…abang sayang, semua ini bukan penghalang kita menjalinkan ikatan yang harmoni. Berjauhan atau tidak, ia bukan jaminan keutuhan sesebuah mahligai perkahwinan. Jarak sama sekali bukan penghalang bagi mencipta mawaddah, rahmah dan sakinah di dalam sesebuah rumahtangga. Asal saja kemahuan dan usaha membaja cinta dilakukan dengan saksama oleh suami dan isteri, ketiga-tiga elemen penyeri itu akan tetap subur mewangi”. Husna melontarkan pendapatnya.

"Macam abang selalu cakap ia ibarat jauh di mata, dekat di hati. Kita akan semakin rindu kerana berjauhan. Perpisahan yang terjadi mampu menatijahkan kebaikan. Ketiadaan abang dirasakan bagai satu kehilangan. Perginya diiring doa, pulangnya ditunggu penuh setia. Saat jauh di mata, rasa rindu bertandang, menjadi tali kepada dua hati untuk saling mengenang. Menambah kasih, merimbun sayang” Husna menambanh lagi.

“Bukan semudah itu sayang. Jika lalai dan cuai dalam menanganinya, ia sangat berpotensi menjadikan jarak perhubungan sedia ada kian ketara jauhnya. Semakin sepi dan dingin. Cinta tidak menggebu. Rindu bukan lagi pengikat untuk bertemu. Sudahlah jauh dari pandangan mata, jauh juga dari jiwa!” Uwais menambah.

“ Kita jangan terlalu idealistik. Kita kena fikirkan juga risiko perhubungan jarak jauh ini. Kita akan berdepan dengan ujian. Ujian dalam kehidupan. Cabaran dalam memaknakan ikatan perkahwinan. Mungkin kita tidak rasa sangat kerana kita belum dikurniakan zuriat. Tapi cuba kita fikirkan kalau kita sudah punya anak nanti” Uwais mengajak isterinya berfkir dengan lebih rasional.

“Jika kita perhatikan masyarakat di luar yang melalui perkara yang sama, ujian ini boleh menjadi berganda cabarannya jika jalan-jalan yang dilalui dalam mengisi dan memaknakannya lebih banyak membawa kepada perselisihan sehingga menatijahkan poligami atau perceraian. Keadaan ini tidak mustahil, dan banyak yang telah melaluinya sebab kedua-dua pihak memandang ringan terhadap usaha-usaha ‘mengikat’ kemas ikatan yang telah mereka jalinkan atas nama Allah” kata Uwais lagi.

“Na’uzubillah minzalik. Jangan lah kita pun begitu abang”. Husna mula rasa tidak selesa.

“Bukan abang mendoakan kita begitu tetapi abang cuma tidak mahu kita anggap semua ini sebagai ‘trend’ hidup masa kini. Ramai yang hidup begini kerana desakan kewangan demi menstabilkan ekonomi keluarga, membayar hutang pinjaman pelajaran, untuk membantu ibu bapa dan adik beradik yang masih belajar dan sebab-sebab lain lagi sehingga ramai para isteri rela atau terpaksa berpisah daripada suami tercinta kerana perlu bekerja jauh. Pelbagai sebab dan punca menjadi pemisah dua jiwa, dan keadaan inilah yang sewajarnya dijadikan renungan bersama”. Tambah Uwais lagi.

“Sayang faham semua itu. InsyaAllah sayang berusaha keras untuk tinggal bersama. Sayang isi permohonan setiap kali online pertukaran dibuka. Tapi nak buat macam mana? Masih belum ada rezeki kita. Kita kena serahkan semua urusan kepada Allah swt. Mungkin Allah lebih tahu selayaknya yang terbaik untuk kita. Kita doakan yang terbaik untuk semua urusan” Husna mempertahankan dirinya.

“Sayang, doa itu bukanlah satu kesalahan, bahkan Allah SWT sendiri menganjurkan hamba-hamba-Nya untuk memohon apa-apa pun kebaikan kepada-Nya, beserta janji bahawa DIA akan memenuhi permohonan mereka. Abang bukan maksudkan sayang tapi realiti yang melata, tindakan kebanyakan manusia selalu tidak selari dengan doa dan permohonan yang dipinta. Ramai lebih cenderung mencari harta yang sementara sehingga mengabaikan sesuatu yang lebih utama, antaranya memilih untuk tidak bersama ‘harta’ yang lebih bernilai iaitu keluarga, dengan hidup bersama walau serba sederhana” balas Uwais lagi.

“Abang harap niat bersulam tawakal yang benar ketika hidup berjauhan ini sentiasa disematkan iaitu prioriti kita membina baitul muslim ini adalah untuk melahirkan sakinah, mawaddah warahmah ila mardhotillah. Membina generasi a-Quran di tengah-tengah masyarakat yang menjadi batu-bata dakwah macam yang sayang harapkan waktu ta’aruf dulu” Kata Uwais penuh pengharapan.

“InsyaAllah abang. Sayang akan segera mencari jalan untuk kembali bernaung di bawah bumbung yang sama, setelah sebab-sebab yang menjarakkan hubungan kita berdua berjaya diharungi atau dilunasi. Sayang faham bahawa sunnatullah di dalam perkahwinan adalah suami melindungi isteri, manakala syari’at juga menekankan, tempat seorang isteri adalah untuk berada di sisi suami. Dua keadaan ini amat sukar dijayakan andai kita berdua tidak duduk sekali”. Kata-kata Husna membuatkan Uwais lega. Dia berasa sangat bersyukur dengan kehadiran Husna dalam hidupnya. Dia sia-sia dia menanti bertahun lamanya disusun oleh Baitul Muslim jemaahnya hingga akhirnya dapat juga dia menikah dengan akhwat yang sealiran, sefikrah dan memahami tugas dan tanggungjwab dakwahnya.

“Cuma sayang harap abang menaruh kepercayaan yang penuh pada isteri abang ini. InsyaAllah sayang akan sentiasa menjaga maruah diri, berpakaian sopan, sempurna menutup aurat, tidak keluar tanpa tujuan dan hala serta selalu memastikan pergaulan dengan rakan sekerja lelaki hanya sebatas yang perlu sahaja. Bercakap, berurusan dan lain-lain kerana tugas dan tidak lebih dari itu. Kalau ada tindak tanduk sayang yang tidak menyenangkan abang harap abang tidak lengah dan tangguh untuk menasihati gaya dan keterlanjuran sayang.” Janji Husna.

“Alhamdulillah, Lega rasanya abang dengar tuturmu sayang. Tazkiyah ini sebenarnya bukan untuk abang seorang tetapi abang panjangkan untuk sayang agar berpisah tidak gelisah, kerana perpisahan tidak sesekali menghadirkan resah, perpisahan adalah penantian, menanti saat kembali bergandingan”. Kata Uwais.

“ InsyaAllah abang, penantian satu ujian, penantian satu renungan, penantian satu kesyukuran, penantian bukti kecintaan. Mencari dan terus mencari cinta Ilahi. Ila mardhotillah” Balas Husna.

“Ok lah sayang, waktu rehat dah habis ni. Supervisor abang dah menjeling dari tadi” . Kata Uwais mengharap penegrtian.

“Ok bang, kita sambung malam ni”. Husna mengerti.

“Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh”

“Wa’alaikumsalamwarahmatullahiwabarakatuh”

“Muaaahh…muah…muah”

Dari hujung telefon Husna hanya tersenyum dan menggeleng kepala. Bersukur atas semua yang Allah beri untuk hambaNya.

Alhamdulillah.
.

No comments:

Post a Comment