Monday, February 20, 2012

Pabila aksaraku tumpah

Kulihat ke arah sana
Serakan warna hitam dan berarakan
Hujan
Segera turun melimpahkan kasih Tuhannya
Namun hujan yang turun tika ini
Membuat diri menjeruk rasa,
Cuba ku tahan namun
Termuntah jua tanpa dipinta.
Air mataku mengalir seiring derasnya hujan
Makin ku layan perasaan ini
Esak tangis sudah kedengaran seiring esakan guruh di langit
Anak sulung yang degil ini kalah juga dengan hujan



Tunggangan merah kelisa ku
Kini gering di bengkel kereta
Membuat aku kesepian
Tiada siapa yang menemani permusafiran dakwahku ini
Saban minggu permusafiranku ke usrah dan program dakwah
Dengan motor yang lima kali ganda dari kudratku
Sangat menguras tenaga perempuan
Motor yang terpaksa ku tuntun ke jeti
Masuk bot di Jeti Sungai Bernam
Kisah bot yang mengundang antara percaya atau tidak akhwat
Tatkala mendengar nukilanku
Layaknya ceritaku seperti utopia
Buat gula-gula untuk mengumpan tidur anak-anak
Fikir mereka


Ku sangka segalanya tiada susah,
Namun, air yang melimpah naik
Buat aku tidak yakin
Untuk menaikkan tunggangan ini
Ku pujuk hatiku,
Kupujuk untuk berpatah balik
Mengikut jalan jauh
Melalui pekan Sabak Bernam
Namun guruh berdentum kuat
Memuntahkan seluruh tangisannya
Lebih kuat daripada tadi
Hingga terpaksa
Mengheret tayar motorsikal ini
Di rumah Allah
Aku sekadar duduk basah kuyup
Dengan kesejukan di wakaf masjid

Hatiku pilu,
Jiwaku kosong tatkala
Aku lemparkan pandanganku jauh-jauh
Di jalan raya
Cuba kupujuk lagi hatiku
Malu jika air mata ini tumpah lagi,

Aku mahu katakan
Pada abang
Segalanya menuntut mujahadah,
demi kehidupan yang bahagia..
hidup berkelana tidak berteman,
ku kata pada diriku,
janganlah bersedih, tuhan bersamamu,
namun fitrah ciptaanNYA,
insan memerlukan teman..
Allah, engkau menjadi saksi,
Aku merindui teman,
Yang telah engkau anugerahi,
Untuk diriku menerus juang.

Aku muhasabah panjang
Sabda Rasulullah
“Sesungguhnya perjalanan umatku adalah jihad di jalan Allah”
Jihad adalah perjalanan hidupku yang paling menyenangkan
Jihad adalah hobi dan kesukaan yang sentiasa kutekuni
Jihad tidak ku pandang sebagai beban kesulitan
Tapi sebagai keperluan dan ketenangan
Inilah sumbangsihku untuk kehidupan akhirku
Perbekalan yang ku kutip dari fartamorgana

Pertolongan Allah padaku tak pernah kunjung surut
Jauh lebih banyak daripada kegagalan dan cobaan yang kualami
Membuat aku malu sendiri
Malu kerana aku sering merungut
Dia memelihara imanku
Aku diberi peluang bergabung dengan jemaah
Sedar tentang keutamaan amal jama’i
Aku diberikan pelbagai kemudahan menyebarkan dakwah
Bapa membelikan aku tunggangan merah kelisa
Tanpa perlu aku perlu membuat loan
Membeli buraq bagus untuk tunggangan seperti teman lain
Aku tak mahu seperti penyoal Tuhan dalam al-Baqarah, ayat 214
Sangat tegar bertanya
“bilakah datangnya pertolongan Allah?”
Kemudian ditempelak kembali oleh Tuhan
Ingatlah pertolongan Allah itu amat dekat
Ujianku sangat sepele
Baru tunggangan merah kelisaku gering
Hampir lumpuh kurasa langkahku
Ah, manjanya aku

Sesungguhnya manusia seumpama seekor dalam seratus ekor unta,
Hampir-hampir tiada pada unta yang mampu membawa barang dagangan
Aku mahu jadi unta ini
Aku mahu jadi orang yang sentiasa meningkatkan kontribusi
Demi mencari redho Illahi
Aku sungguh mahu jadi batu-bata yang baik dalam bangunan ini
Aku tidak mahu menjadi akhwat yang manja


Kenapa aku perlu setekad ini
Kenapa aku perlu seteguh karang di lautan
Tarbiyah adalah ruh energi ku
Darah dari gerakan ku
Tarbiyah adalah cahaya atas cahaya
Kekuatan atas kekuatan
Andai ku tolak tarbiyah menjadi kegiatan sekunder
Maka saat itu juga dakwah kehilangan kekuatan
Ini juga wasiat dari pemikir dakwah yang kupegang kemas
Wasiat daripada Hassan Al-Banna, Hassan Hudaibi, Umar Tilmisani,
Mustafa Masyhur, Abdullah Nasih Ulwan,
Fathi Yakan, Syeikh Yasin, Abdullah Azzam dan Yusuf Qardawi


‘Kami tidak mengharapkan sesuatu dari manusia,
Tidak mengharap harta benda atau imbalan yang lainnya,
Tidak juga populariti,
Apa lagi sekadar ucapan terima kasih,
Yang kami harap hanyalah pahala dari Allah,
Dzat yang telah menciptakan kami’
Itulah titipan dari as-syahid Hassan Al-Banna
Kata-kata yang sangat inspiratif


Namun Abang,
Biar sekuat mana kutahan gelojak ini,
Bila rindu meniup jiwa,
Tatkala wajahmu menyapa lamunan,
Bergetarlah rasa, terpantullah nama,
Mengharap hadir di mimpi indah,
Memaut tangan berjalan seiring.
Apalah kabarmu disana,
Jasad yang berkelana, hati bagai tertinggal,
Pedih menanggung rindu,
Berkahwin dan berjauhan,
Menyanggah fitrah berteduh bersama..
Kurasa semua jam yang ada,
Bagai rosak dan kehabisan bateri,
Sehingga kurasa sesaat bagaikan setahun,
Tanpamu disisi,

Namun abang,
Senyummu buatku ceria,
Memuji yang maha Mencipta,
Kerana dikurniakan dirimu,
Menemani hambaNYA ini..
Dikau insan mulia dan penyayang,
Aku mencintaimu sepenuh jiwaku..
Tangis dan tawa kita bersama,
Berpimpin tangan menuju redha,
Walau dipisah ribuan batu namun jiwa,
Kekal bersama
Menyintaimu hingga hujung nyawa
Sepenuh jiwa dan ragaku

Abang
Maafkan aku
Ku sedar hingga hari ini
Aku masih belum menjadi suri dan sahabat yang baik
Untukmu
Betapa ikhlas abang mendampingiku
Betapa lapang hatimu melepaskan aku menyertai program dakwah
Betapa sedikit yang kuperbuat untukmu
Maafkan aku abang



Tuhan seolah mengerti
Hujan semakin menyurut
Gerak hatiku laju
Memacu deruan motorsikal
Untuk kembali ke jeti
Alhamdulillah
Ketidakyakinan kutongkah juga
Motor ini dapat juga masuk ke dalam perut bot
Rasanya kekuatan Tuhan yang mencipta kesudahan ini
Paling gembira apabila Tuhan menghiburkan aku
Dengan persembahan di langit
Ku pandang langit yang indah
Dan ku lihat pelangi selepas hujan
Ini bukan kali pertama aku melihat pelangi
Tetapi entah mengapa
Pelangi ini sangat menghiburkan aku
Aku senyum panjang hingga sampai ke rumah
Aku dongakkan kepala
Dan ku rasa pelangi masih senyum padaku
Oh, tidak tergambar perasaanku
Indahnya penyudah ceritaku
Tuhan, mulai sekarang aku tidak pernah peduli apa pun
Asal Kau redho padaku



Ku yakini
Ya Allah, Ya Rabb kami
Jadikan apa yang aku lakukan ini sebagai
Penebus dosa-dosaku
Dan menjadi pemberat timbangan amal salehku di Hari Akhir
Amiin ya Rabb

Sunday, January 29, 2012

14X GANDA PENAT

“ Diwajibkan ke atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kamu ” (2:216)


PERJALANAN YANG MELELAHKAN

Tuttt!! Tutt! Pantas ku capai telefon dan membuka mesej yang baru masuk. Tadi sibuk di dapur menyediakan lauk makan tengah hari yang sengaja disediakan awal.

(Assalamualaikum sayang, abang tak sihat arini. Rehat kat rumah) 27/01/2012 11:23am

Gulp!

Aku periksa senarai panggilan masuk.
Empat missed call. Kebetulan panggilan masuk sekali lagi. Suami menelefon dan memaklumkan yang dia tidak sihat dan tidak pergi kerja pada hari tersebut. Panggilan dari Darul Ikhwah di buat dari ruang tamu. Terbaring sendiri tanpa ikhwah menemani kerana masing-masing bekerja. Kedengaran suara lemahnya yang membuatku tumpang empati. Sakit gusi tiga hari yang lalu melarat kembali. Tidak berdaya untuk melangkah ke masjid menunaikan solat jumaat.

Selesai perbualan ringkas sebelum tengah hari, aku bungkam sendiri. Memikirkan kewajaran untuk menjenguknya di Bangi. Teringat pada pesanan murobbiyah semalam. Ceramah MSIB pada 28/01/2012 (esok) pukul 9-11malam di Dewan AIM. Kebetulan mabit bulanan akan diadakan sekali. Otakku pusing memikir yang mana lebih prioriti. Dakwah vs suami? Suami tidak memaksa aku berada di sisi. Tambahan pula keretaku break down membuatkan langkahku bulan ini agak terbatas. Mungkin berlarutan sepanjang sebulan. Namun, memikirkan semasak-masaknya,aku memaklumkan murabbiyah kondisiku. Aku minta pendapat daripada ibuku juga. Masing-masing tidak menegah dan menyerahkan keputusan di tanganku. Harap pilihanku betul dan harap ini kali terakhir aku terpaksa membelakangkan mabit.

Selesai mengalas perutku yang menyanyikan lagu keroncong, pastas aku membersihkan diri. Memandangkan waktu solat Zuhor sudah kunjung tiba, aku pun solat seperti biasa dan tidak seperti kebiasaan tatkala musafir aku mengimpunkan solat. Harap Allah mudahkan urusan aku untuk menunaikan solat Asar nanti. Dalam pacuan empat roda Ford Ranger yang dipandu ibu, otakku ligat berfikir kemungkinan tiket bas ke Kuala Lumpur habis. Jika tiket habis, pasti aku terpaksa mengambil bas lompat. Itu yang paling melelahkan dan antara perkara yang aku tidak suka dalam hidup. Menaiki pengangkutan awam. Zaman susah kembali bermula. Mungkin tarbiyah langsung dari Allah untuk aku yang selalu enak diulit kesenangan tatkala sudah berkerjaya. Sesakali, perlu susah untuk muhasabah diri. Aku bersangka baik dan redha andai Allah takdirkan perjalananku menaiki bas lompat.

Aku sampai pukul 2.00 pm. Kaunter tiket maklumkan tiket paling awal pukul 3.45pm. Aku nekad menyambar tiket tersebut. Ibu dan adikku tidak dapat menunggu kerana ada urusan lain menanti di Tanjung Karang. Aku buat keputusan untuk tidak memaklumkan keberangkatanku petang itu kepada suami. Sekadar kejutan untuk menambah rencah dalam kehidupan berumahtangga. Dia juga sudah maklumkan tidak ke mana-mana memandangkan esok (Sabtu) dia bekerja. Sambil menunggu, aku habiskan masa menyelak helai demi helai majalah Seri Dewi Keluarga yang kupinjam dari ibu. Jika aku ke mana-mana, pasti koleksi bahan bacaan akan ku bawa bersama. Jika, ada hal yang tidak terduga seperti hari ini, sekurang-kurangnya tidak terbazir masaku dengan hanya sekadar duduk melangut.


Perjalananku dengan bas berjalan lancar. Bas yang banyak berkhidmat kepadaku sejak aku berada di bangku sekolah. Walau mungkin , basnya kini tidak seperti dulu namun konsortium yang mengurus bas ini tetap sama. Dahulu, setiap kali mahu pulang ke asrama, aku paling banyak mengeluh. Terpaksa menaiki bas tanpa aircond hingga terpaksa buka laluan kecemasan atas bumbung untuk memastikan pengudaraan berada dalam keadaan baik. Bas yang beroperasi tanpa langsir hingga menyebabkan panahan metahari menggangu tidurku dan suasana hangat sangat melemaskan. Namun, sekarang aku sedikit puas hati sebab keadaan jauh berubah. Cuma sesekali aku rasa mual. Fenomena biasa apabila terpaksa melalui jalan bengkang-bengkok merentas bukit antara Kuala Selangor-Ijok. Risau juga sebarang kemungkinan kalau tidak maklumkan pada suami. Aku pun mesej untuk memastikan suami di Bangi.

(Assalamualaikum abang. Lupa nak cakap. Td kirim hadiah abang. Kalau abang free, nanti lepas ambil hadiah tu kat komuter UKM. Kt kirim kat akhwat. Kalau hadiah dah sampai, kt call abang. Sayang abang sangat) 27/01/2012 05:05pm. Baik baik sayang. Ringkas sahaja responnya.

Aku buat keputusan untuk berhenti di Kepong Sentral. Dari kepong Sentral, aku menaiki komuter ke UKM Bangi. Alhamdulillah. Allah mudahkan urusanku menunaikan solat Asar di surau yang disediakan. Bimbang juga andai aku terlepas tren. Namun, aku tawakal memandangkan aku tiada urusan segera. Selesai solat Asar, tanpa perlu terkocoh-kooh memakai stokin aku dapat menaiki tren yang tiba sejurus aku melangkah keluar dari surau. Perjalanan lancar dan Alhamdulillah, aku dapat duduk dengan selesa dalam koc yang dikhaskan untuk penumpang wanita. Rasa sangat selamat dan bersyukur atas penghargaan ini. Koc merah jambu untuk wanita. Sangat comel.


(Assalamualaikum abang. Dah solat maghrib? Kalau dah solat jangan biar akhwat tunggu lama-lama ye. Akhwat dah sampai. Harap hadiah itu boleh jadi ubat. Salam kejauhan, sayang abang sangat) 27/01/2012 07:26pm. Aku menghantar pesanan ringkas apabila komuter yang kunaiki melepasi Kajang. Seperti biasa, responnya ringkas (Baik baik sayang)

Tidak sabar melihat respon tatkala melihat kelibatku. Nampak teruja. Namun pelik juga, kerana pakaian kerjanya sudah siap bersangkut pada penyangkut baju dan ada hadiah comel. Rasanya ibu yang risaukan aku, pasti sudah membocorkan rahsia keberangkatanku. Sedikit kecewa apabila telahanku mengena. Ibu memang sudah memaklumkan awal. Suamiku memang pandai berlakon. Namun hadiah soft toy comel berwarna hijau mengubat kecewa.


Sejurus sampai, kami ke klinik gigi. Dua buah klinik yang dikunjungi sebelum ini adalah klinik biasa. Harapan, mungkin klinik gigi akan bagi rawatan pencerahan bagi penyakit yang masih tidak kebah. Namun, ubat yang diberi persis seperti ubat daripada dua klinik sebelum ini.

Esok pagi, suhu badan suami naik dan tiada daya untuk pergi kerja. Oleh itu, mahu tidak mahu, kami terpaksa pergi ke klinik dengan objektif untuk mendapatkan MC. Namun, menjelang petang, baru kami berangkat memandangkan demam baru kebah. Pergi ke klinik. Diagnosa awal doktor mungkin asma, bronchitis atau pneumonia. Alhamdulillah, dapat MC. Kasihan apabila suami terpaksa diberi bekalan oksigen. Pertama kali seumur hidup katanya. Nasihat doktor supaya elakkan aircond, makanan yang menyebabkan gatal dan keradangan pada organ pernafasan (resdung), dan jangan minum ais.


Hari ahad, aku berangkat pulang.

Seperti biasa menaiki pengangkutan awam. Namun kali ini perjalanan yang sangat melelahkan sehingga aku jadi serik untuk menaiki pengangkutan awam. Satu jam perjalanan menaiki komuter dari UKM ke Kepong Sentral. Satu jam menunggu bas merah ke Kuala Selangor. Satu jam perjalanan menaiki bas dari Kepong Sentral ke Kuala Selangor. Paling haru apabila aku terpaksa melayan lagu tamil yang membuat kepalaku pusing, ditambah dengan jalan bengkang-bengkok dan asap rokok yang dilepaskan oleh pemandu yang tidak bertanggungjawab. Asap rokok dalam bas yang ber’aircond’. Sangat sadis. Turun sahaja daripada bas, lututku rasa longgar dan badan menggeletar memijak bumi Stesen Bas Melawati, Kuala Selangor. Lapar. Pagi tadi, aku hanya menjamah sekeping roti canai.

Namun, lebih berpinar mataku dan tubuhku rasa nak melayang apabila pemandu teksi di situ memaklumkan bahawa bas ke Sabak Bernam sudah tidak beroperasi sejak lapan bulan yang lalu. Pakcik pemandu sibuk melobi aku supaya menaiki teksinya dengan tambang RM80.00. Aku melopong mendengar harga tersebut. Akhirnya aku membuat keputusan untuk menelefon ibu dan meminta ibu menjemputku. Satu jam setengah masa ku habis menunggu ibu. Hingga aku berhasil menyelesaikan 6 muka surat soduku puzzle.


Ibu tiba dan aku menginjakkan kaki di muka pintu rumah pada pukul 5.00 petang. Tidak terjangkau akalku perjalanan dari Bangi pada pukul 11 pagi berakhir pada pukul 5.00 petang. Lebih kurang perjalanan andai aku pulang ke Pendang, Kedah. Rumah mertuaku. Namun, mengenangkan suami aku tulus dan ikhlaskan hati sahaja semua kepenatan ini.

Malam.

Aku mengemaskini status laman social Facebook. Terbaca satu status kenalan suami.
Having ABC special — with Mior Anas Bin Mohamed at Ramal Junction Food Court.
Erk…tiba-tiba 14kali ganda rasa lelah dan kepenatan yang baru hendak hilang tadi.
Huhu…Sabar je le

Wednesday, January 25, 2012

Musafir cinta last episode: Kayuhan Silaturrahim

Dari Aisyah ra., ia berkata: Rasulullah saw. bersabda: Rahim (tali persaudaraan) itu digantungkan pada arsy, ia berkata: Barang siapa yang menyambungku (berbuat baik kepada kerabat), maka Allah akan menyambungnya dan barang siapa yang memutuskan aku, maka Allah pun akan memutuskannya.(Shahih Muslim No.4635)



Alhamdulillah, genap dua bulan empat hari setelah menikah, lengkaplah misi ziarah Musafir Cinta kami yang entah tidak terhitung edisi kali keberapa. Sebelum menikah tidak pernah terlintas di kotak fikiranku ini akan menjadi satu agenda wajib pasangan yang sudah melangkah ke alam rumah tangga. Apatah lagi, sebelum ini aku selalu membawa haluan hidupku sendiri. Hanya sekadar menjaga wasilah-wasilah pokok seperti kerja, belajar dan dakwah untuk mencapai matlamat akhir hidupku. Ilamardhotillah. Tampak betapa aku sangat mementingkan diri lantaran menjaga hubungan dengan Tuhan semata tetapi alpa dengan tanggungjawabku kepada sesama manusia apatah lagi kaum kerabat sendiri. Dahulu, aku tidak peduli perkembangan dan jarang mengemaskini lipatan status cerita hidup kaum kerabatku. Namun, suami selalu mengingatkan dan mengajak diriku merenung kekuatan sebuah kalimah 'silaturrahim' yang berasal dari bahasa Arab yang membawa maksud ikatan kasih(perhubungan). Dia yang selalu mengajak aku mendalami maksud yang tersirat disebalik perkataan mulia ini.

Suatu petang

Sepasang suami isteri yang sedang menaiki kenderaan Proton Savy KCS (Kedah Cinta Selangor) 1234 terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Utara Selatan sebaik sahaja mula memasuki tol Bukit Merah. Mereka baru sahaja selesai menziarahi kenalan yang melangsungkan walimah di Batu Kurau, Perak.

Qurratul ‘Ain mengeluh berat. Keadaan lalu lintas di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) dari arah utara menghala Selatan dan arah selatan ke Kuala Lumpur mengalami kesesakan teruk berikutan ribuan warga kota mula kembali ke ibu kota selepas cuti panjang Tahun Baru Cina. Dia sebenarnya sudah maklum tentang itu, tetapi perjalanan melalui jalan biasa jauh melelahkan. Suami tercinta, Muadz hanya bungkam seribu bahasa. Melayan perasaan sendiri dan fokus pada pemanduan. Kalau tidak peka, mungkin dia akan melanggar belakang kenderaan hadapan yang asyik menekan pedal brek. ‘Ain langsung mencapai telefon bimbit dan memainkan skrin sesentuh telefon suaminya. Sekadar melepaskan perasaan bosan dan rasa jengkel. Tertarik dengan ikon burung merah pada skrin sesentuh tersebut. Angy Bird, cukup menggambarkan rasa jengkelnya dengan keadaan trafik yang bergerak cukup perlahan. Habis asam yang dibeli sewaktu behenti di Hentian Rehat & Rawat tadi dikulumnya untuk menghilangkan rasa mual apabila kenderaan dipandu perlahan dan kadang-kadang berhenti apabila kereta mereka merapati kenderaan hadapan. Bosan bermain Angry Bird, dia mencapai surat khabar yang masih belum dibaca dan membelek dari muka ke muka.

Berkerut-kerut dahi Qurratul ‘Ain menatap berita yang mengisi ruang-ruang akhbar. Masih mengenai isu yang berkaitan dengan pergaduhan, buli, dan keruntuhan akhlak yang seterusnya membawa kepada kes-kes pembunuhan di sana-sini sehingga berita-berita sebegini menjadi kudis dalam kehidupan manusia. Semakin hari semakin bertambah-tambah nilai assabiyah dalam diri manusia hari ini. Lebih menyentuh hati ‘Ain lagi apabila kisah benar yang dipaparkan ini melibatkan sebuah institusi keluarga .

‘Astaghfirullahaladzim. Abang, tengok ni, adik mati dibunuh abang sebab bercakaran hanya kerana tidak mahu berkongsi barang mainan’. Ain cuba menarik perhatian Muadz.

‘Erm…dunia akhir zaman, sayang. Bukan itu sahaja, sebuah keluarga boleh berpecah belah hanya kerana berebut akan harta warisan yang cuma sekangkang kera. Suami isteri menyingsing lengan, terlupa pada ikatan suci perkahwinan yang dibina bertahun-tahun lamanya. Sesama jiran menarik muka memanjangkan sengketa hanya kerana tersilap kata terlanjur bicara. Generasi muda sudah tidak memandang yang tua sebagai manusia yang patut dihormati dan disanjungi. Memandang generasi tua hanya sebelah mata sehingga ada yang sanggup menyisih mereka jauh dari mata dan hati. Maka, rumah warga tua dan rumah kebajikan selayaknya bagi mereka yang telah terbuang dari sebuah institusi yang bernama ‘kekeluargaan’. Muadz mengulas panjang lebar.

‘Betul tu bang. Dalam tempat kerja sayang pula, dengki mendengki, hasut, khianat, fitnah dan ‘talam dua muka’ mengambil tempat menyisihkan silaturrahim, seterusnya merenggangkan hubungan manusia sesama manusia, apatah lagi dengan Allah s.w.t.’

‘Apabila sekecil-kecil titik hitam dalam hati memusnahkan suatu sunnah yang dinamakan silaturrahim, kesannya amat besar, panjang dan menyakitkan. Sekecil-kecil peribadi seorang kakak tiada sifat bertolak ansur terhadap adiknya, seorang suami atau isteri tidak memberi nilai kasih yang sewajarnya pada keluarga, sesama jiran menutup rapat pintu kemesraan, seorang majikan atau pekerja tidak mengamalkan nilai ‘kerja sebagai suatu ibadah’, dan sebesar peranan pemimpin yang cetek akalnya menurut nafsu kekuasaan sehingga tercetusnya peperangan. Maka, di sinilah lenyapnya nilai dan keindahan sebuah kasih sayang, perikemanusiaan dan seterusnya memusnahkan suatu sunnah yang bernama silaturrahim’ Muadz menambah lagi.



‘ Sayang, Silaturrahim adalah hubungan kekerabatan dan sanak saudara yang dilingkungi oleh sifat saling berkasih sayang (tarahamal qaumu). Kasih sayang yang dimaksudkan bukanlah yang biasa-biasa, tetapi merupakan kasih dan sayang yang amat rapat, ikhlas dan luhur antara ibu bapa dan anak, kaum keluarga, sanak saudara, dan juga jiran tetangga. Malah, definisi silaturrahim juga merangkumi batas sempadan negara iaitu hubungan antara sesama manusia tanpa mengira warna kulit ataupun bangsa’. Perbualan suami isteri di tengah kesesakan lalu lintas itu sudah seperti menjadi muzakarah agama.

‘Silaturrahim merupakan satu sunnah yang tidak lagi diminati oleh masyarakat hari ini dan kita kena hidupkannya. Sebab tu abang ajak sayang menziarahi adik beradik mama, baba, bapak dan emak sepanjang cuti ini. Hubungan kekeluargaan adalah satu usaha untuk membentuk masyarakat Islam yang berkualiti. Dalam hubungan ini, kepentingan setiap individu terjamin apabila setiap anggotanya saling sayang menyayangi, melindungi dan ingat-mengingati. Allah s.w.t berfirman dalam surah An-Nisa’ ayat 1, yang bermaksud:

“Dan takutlah kepada Allah yang pinta-meminta kamu dengan nama-Nya dan (takutlah akan memutuskan) silaturrahim. Sesungguhnya Allah mengawasi kamu.”

‘Sayang tahu tak, apa kelebihan silaturrahim selain daripada sunnah nabi?’ Muadz menyoal Ain supaya muzakarah mereka menjadi dua hala.

“Erm..sayang pernah dengar tazkirah seorang akhwat tentang rumah-rumah yang tidak dimasuki syaitan. Antara rumah-rumah yang dibenci oleh syaitan ialah rumah yang penghuninya sentiasa menjaga dan menghubungkan silaturrahim, menjaga adab dan berbakti kepada orang tuanya dan rumah yang penghuninya terdiri dari pasangan yang soleh dan solehah serta saling faham memahami dan bertolak ansur selain suka memaafkan orang lain dan rumah yang sentiasa dipenuhi dengan ucapan salam dan meminta izin. Rumah-rumah sebegini yang dipenuhi dengan amalan mulia, akan memupuk ikatan silaturrahim berpanjangan’. Balas ‘Ain panjang lebar.

‘ Dan lagi sayang, untuk menjalinkan silaturrahim bukanlah sukar, apatah lagi dengan kemudahan dan kecanggihan teknologi perhubungan terkini yang membolehkan silaturrahim dijalin lebih erat, lebih mantap dan kukuh. Penggunaan telefon bimbit, emel, sistem pesanan ringkas (sms), dan sebagainya banyak membantu untuk bertanya khabar dan mengekalkan silaturrahim sesama kita. Sebab tu, syiar wajib abang untuk sayang adalah hubungi mama dan baba sekurang-kurangnya seminggu sekali. Tanya khabar mereka. Minggu ini dah call mereka belum?’ Muadz bertanya.

‘Hihi…’ ‘Ain sekadar tersengih macam kerang busuk.

‘Isk isk isk…due date sampai Ahad ni ye. Tak buat kena iqob’ Muadz mengugut manja

‘Baik bos’ balas Ain.



‘Selain itu sayang, jarak perjalanan untuk mengunjungi, atau menziarahi ibu bapa dan sanak saudara boleh dipendekkan dengan sistem pengangkutan yang baik seperti kapal terbang, komuter, lrt, kereta, malah, sistem jalan raya juga bertambah baik dengan pembinaan lebuhraya yang mampu memendekkan masa dan tenaga. Bukankah zaman serba moden seperti ini sepatutnya mengeratkan lagi silaturrahim yang telah wujud?’ Muadz mengajak isterinya berfikir.

‘Betul betul betul, kita tidak perlu berkira dengan duit, masa dan peluh yang kita laburkan untuk bayar minyak, tol, buah tangan, traffic jem dan lain-lain. Huhu…’ ‘Ain makan dalam dengan nasihat yang ditujukan buat dirinya sendiri.

‘Jadi jangan merungut ye sayang kalau traffic jem. Nanti Allah gantikan kepenatan dan ke’tension’an kita dengan imbalan yang lebih baik. Ini semua infak kita. Allah SWT menegaskan akan menambah rezeki dan karunia bagi orang-orang yang berinfaq di jalan Allah. “… dan barang apa yang kamu nafkahkan maka Allah akan menggantikan harta yang dishadaqahkan, memberkahinya dan menambahkan karunia-Nya”. (Saba’34:39). Rezeki dalam bentuk pelbagai bentuk. Bukan hanya pada wang ringgit, anak pun rezeki juga. Mana lah tahu, doa yang kita tagih dari mereka supaya dimudahkan urusan zuriat termakbul dengan asbab masinnya mulut salah seorang yang kita ziarahi’ Nasihat Muad’z.

“Huhu… baik boss. Kalau kita meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, niscaya Allah melipat gandakan balasannya kepada kita dan mengampuni kita. Dan Allah Maha Pembalas Jasa lagi Maha Penyantun.”(64:17)’ ‘Ain mengakui kebenaran kata-kata suaminya.

‘ok, sayang. Sekarang tolong ambil Galaxy tab dan update program Musafir Cinta kita’ Muadz mengarah lembut

‘Ain mengambil Galaxy tab dan mengemaskini program ziarah mereka.

‘Erm… keluarga yang dah kita ziarah Mak chak muazzah, Pak Tam ahya’, Pak jang dhu, Pak su Adi, Pak cik Malik, Pak lang akhiq, Mak teh timah, Ayah cho, Mak yang hanum, Mak yah robiah, Mak su salwah, Wak dot, Pak Cik Sham , Makcik Mimi, Pak Long Arshad, Wak Sahar, Mak Jang Pah, Pakcik Syam, Mak Su Lia. Yang berbaki belum diziarahi Mak Ngah Zizah dan Wak Ju’ Ain melaporkan.

‘ok, jadi nanti kita exit Ipoh-Tanjung Rambutan pergi rumah Mak Ngah Zizah dan insyaAllah Isyak kita sampai di Chikus, singgah rumah Wak Ju’ Muadz memberi arahan.

Alhamdulillah.

“Segala puji bagi Allah,Maha suci Allah yang menyediakan kenderaan ini untuk kemudahan kita dan kami tidak terdaya menguasainya, dan sesungguhnya kepada Tuhan kitalah, kita akan kembali. Dengan Nama Allah yang tiada mudharat sesuatu diatas di bumi dan dilangit dengan NamaNya dan Dialah yang Maha Mendengar lagi maha Mengetahui'”

Opss, satu lagi doa yang bermakna dan tidak boleh tertinggal:

Rabbana hablana min azwajina wadzurriyatina qurrata a'yun waj'alna lil muttaqina imama : wahai tuhan kami, kurniakanlah pada kami dari pasangan kami serta ZURIAT kami ketenangan/ketenteraman, dan jadikanlah kami imam bagi orang2 yg bertaqwa :)
(QS. 25 : 74)




Amin