Wednesday, January 25, 2012

Musafir cinta last episode: Kayuhan Silaturrahim

Dari Aisyah ra., ia berkata: Rasulullah saw. bersabda: Rahim (tali persaudaraan) itu digantungkan pada arsy, ia berkata: Barang siapa yang menyambungku (berbuat baik kepada kerabat), maka Allah akan menyambungnya dan barang siapa yang memutuskan aku, maka Allah pun akan memutuskannya.(Shahih Muslim No.4635)



Alhamdulillah, genap dua bulan empat hari setelah menikah, lengkaplah misi ziarah Musafir Cinta kami yang entah tidak terhitung edisi kali keberapa. Sebelum menikah tidak pernah terlintas di kotak fikiranku ini akan menjadi satu agenda wajib pasangan yang sudah melangkah ke alam rumah tangga. Apatah lagi, sebelum ini aku selalu membawa haluan hidupku sendiri. Hanya sekadar menjaga wasilah-wasilah pokok seperti kerja, belajar dan dakwah untuk mencapai matlamat akhir hidupku. Ilamardhotillah. Tampak betapa aku sangat mementingkan diri lantaran menjaga hubungan dengan Tuhan semata tetapi alpa dengan tanggungjawabku kepada sesama manusia apatah lagi kaum kerabat sendiri. Dahulu, aku tidak peduli perkembangan dan jarang mengemaskini lipatan status cerita hidup kaum kerabatku. Namun, suami selalu mengingatkan dan mengajak diriku merenung kekuatan sebuah kalimah 'silaturrahim' yang berasal dari bahasa Arab yang membawa maksud ikatan kasih(perhubungan). Dia yang selalu mengajak aku mendalami maksud yang tersirat disebalik perkataan mulia ini.

Suatu petang

Sepasang suami isteri yang sedang menaiki kenderaan Proton Savy KCS (Kedah Cinta Selangor) 1234 terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Utara Selatan sebaik sahaja mula memasuki tol Bukit Merah. Mereka baru sahaja selesai menziarahi kenalan yang melangsungkan walimah di Batu Kurau, Perak.

Qurratul ‘Ain mengeluh berat. Keadaan lalu lintas di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) dari arah utara menghala Selatan dan arah selatan ke Kuala Lumpur mengalami kesesakan teruk berikutan ribuan warga kota mula kembali ke ibu kota selepas cuti panjang Tahun Baru Cina. Dia sebenarnya sudah maklum tentang itu, tetapi perjalanan melalui jalan biasa jauh melelahkan. Suami tercinta, Muadz hanya bungkam seribu bahasa. Melayan perasaan sendiri dan fokus pada pemanduan. Kalau tidak peka, mungkin dia akan melanggar belakang kenderaan hadapan yang asyik menekan pedal brek. ‘Ain langsung mencapai telefon bimbit dan memainkan skrin sesentuh telefon suaminya. Sekadar melepaskan perasaan bosan dan rasa jengkel. Tertarik dengan ikon burung merah pada skrin sesentuh tersebut. Angy Bird, cukup menggambarkan rasa jengkelnya dengan keadaan trafik yang bergerak cukup perlahan. Habis asam yang dibeli sewaktu behenti di Hentian Rehat & Rawat tadi dikulumnya untuk menghilangkan rasa mual apabila kenderaan dipandu perlahan dan kadang-kadang berhenti apabila kereta mereka merapati kenderaan hadapan. Bosan bermain Angry Bird, dia mencapai surat khabar yang masih belum dibaca dan membelek dari muka ke muka.

Berkerut-kerut dahi Qurratul ‘Ain menatap berita yang mengisi ruang-ruang akhbar. Masih mengenai isu yang berkaitan dengan pergaduhan, buli, dan keruntuhan akhlak yang seterusnya membawa kepada kes-kes pembunuhan di sana-sini sehingga berita-berita sebegini menjadi kudis dalam kehidupan manusia. Semakin hari semakin bertambah-tambah nilai assabiyah dalam diri manusia hari ini. Lebih menyentuh hati ‘Ain lagi apabila kisah benar yang dipaparkan ini melibatkan sebuah institusi keluarga .

‘Astaghfirullahaladzim. Abang, tengok ni, adik mati dibunuh abang sebab bercakaran hanya kerana tidak mahu berkongsi barang mainan’. Ain cuba menarik perhatian Muadz.

‘Erm…dunia akhir zaman, sayang. Bukan itu sahaja, sebuah keluarga boleh berpecah belah hanya kerana berebut akan harta warisan yang cuma sekangkang kera. Suami isteri menyingsing lengan, terlupa pada ikatan suci perkahwinan yang dibina bertahun-tahun lamanya. Sesama jiran menarik muka memanjangkan sengketa hanya kerana tersilap kata terlanjur bicara. Generasi muda sudah tidak memandang yang tua sebagai manusia yang patut dihormati dan disanjungi. Memandang generasi tua hanya sebelah mata sehingga ada yang sanggup menyisih mereka jauh dari mata dan hati. Maka, rumah warga tua dan rumah kebajikan selayaknya bagi mereka yang telah terbuang dari sebuah institusi yang bernama ‘kekeluargaan’. Muadz mengulas panjang lebar.

‘Betul tu bang. Dalam tempat kerja sayang pula, dengki mendengki, hasut, khianat, fitnah dan ‘talam dua muka’ mengambil tempat menyisihkan silaturrahim, seterusnya merenggangkan hubungan manusia sesama manusia, apatah lagi dengan Allah s.w.t.’

‘Apabila sekecil-kecil titik hitam dalam hati memusnahkan suatu sunnah yang dinamakan silaturrahim, kesannya amat besar, panjang dan menyakitkan. Sekecil-kecil peribadi seorang kakak tiada sifat bertolak ansur terhadap adiknya, seorang suami atau isteri tidak memberi nilai kasih yang sewajarnya pada keluarga, sesama jiran menutup rapat pintu kemesraan, seorang majikan atau pekerja tidak mengamalkan nilai ‘kerja sebagai suatu ibadah’, dan sebesar peranan pemimpin yang cetek akalnya menurut nafsu kekuasaan sehingga tercetusnya peperangan. Maka, di sinilah lenyapnya nilai dan keindahan sebuah kasih sayang, perikemanusiaan dan seterusnya memusnahkan suatu sunnah yang bernama silaturrahim’ Muadz menambah lagi.



‘ Sayang, Silaturrahim adalah hubungan kekerabatan dan sanak saudara yang dilingkungi oleh sifat saling berkasih sayang (tarahamal qaumu). Kasih sayang yang dimaksudkan bukanlah yang biasa-biasa, tetapi merupakan kasih dan sayang yang amat rapat, ikhlas dan luhur antara ibu bapa dan anak, kaum keluarga, sanak saudara, dan juga jiran tetangga. Malah, definisi silaturrahim juga merangkumi batas sempadan negara iaitu hubungan antara sesama manusia tanpa mengira warna kulit ataupun bangsa’. Perbualan suami isteri di tengah kesesakan lalu lintas itu sudah seperti menjadi muzakarah agama.

‘Silaturrahim merupakan satu sunnah yang tidak lagi diminati oleh masyarakat hari ini dan kita kena hidupkannya. Sebab tu abang ajak sayang menziarahi adik beradik mama, baba, bapak dan emak sepanjang cuti ini. Hubungan kekeluargaan adalah satu usaha untuk membentuk masyarakat Islam yang berkualiti. Dalam hubungan ini, kepentingan setiap individu terjamin apabila setiap anggotanya saling sayang menyayangi, melindungi dan ingat-mengingati. Allah s.w.t berfirman dalam surah An-Nisa’ ayat 1, yang bermaksud:

“Dan takutlah kepada Allah yang pinta-meminta kamu dengan nama-Nya dan (takutlah akan memutuskan) silaturrahim. Sesungguhnya Allah mengawasi kamu.”

‘Sayang tahu tak, apa kelebihan silaturrahim selain daripada sunnah nabi?’ Muadz menyoal Ain supaya muzakarah mereka menjadi dua hala.

“Erm..sayang pernah dengar tazkirah seorang akhwat tentang rumah-rumah yang tidak dimasuki syaitan. Antara rumah-rumah yang dibenci oleh syaitan ialah rumah yang penghuninya sentiasa menjaga dan menghubungkan silaturrahim, menjaga adab dan berbakti kepada orang tuanya dan rumah yang penghuninya terdiri dari pasangan yang soleh dan solehah serta saling faham memahami dan bertolak ansur selain suka memaafkan orang lain dan rumah yang sentiasa dipenuhi dengan ucapan salam dan meminta izin. Rumah-rumah sebegini yang dipenuhi dengan amalan mulia, akan memupuk ikatan silaturrahim berpanjangan’. Balas ‘Ain panjang lebar.

‘ Dan lagi sayang, untuk menjalinkan silaturrahim bukanlah sukar, apatah lagi dengan kemudahan dan kecanggihan teknologi perhubungan terkini yang membolehkan silaturrahim dijalin lebih erat, lebih mantap dan kukuh. Penggunaan telefon bimbit, emel, sistem pesanan ringkas (sms), dan sebagainya banyak membantu untuk bertanya khabar dan mengekalkan silaturrahim sesama kita. Sebab tu, syiar wajib abang untuk sayang adalah hubungi mama dan baba sekurang-kurangnya seminggu sekali. Tanya khabar mereka. Minggu ini dah call mereka belum?’ Muadz bertanya.

‘Hihi…’ ‘Ain sekadar tersengih macam kerang busuk.

‘Isk isk isk…due date sampai Ahad ni ye. Tak buat kena iqob’ Muadz mengugut manja

‘Baik bos’ balas Ain.



‘Selain itu sayang, jarak perjalanan untuk mengunjungi, atau menziarahi ibu bapa dan sanak saudara boleh dipendekkan dengan sistem pengangkutan yang baik seperti kapal terbang, komuter, lrt, kereta, malah, sistem jalan raya juga bertambah baik dengan pembinaan lebuhraya yang mampu memendekkan masa dan tenaga. Bukankah zaman serba moden seperti ini sepatutnya mengeratkan lagi silaturrahim yang telah wujud?’ Muadz mengajak isterinya berfikir.

‘Betul betul betul, kita tidak perlu berkira dengan duit, masa dan peluh yang kita laburkan untuk bayar minyak, tol, buah tangan, traffic jem dan lain-lain. Huhu…’ ‘Ain makan dalam dengan nasihat yang ditujukan buat dirinya sendiri.

‘Jadi jangan merungut ye sayang kalau traffic jem. Nanti Allah gantikan kepenatan dan ke’tension’an kita dengan imbalan yang lebih baik. Ini semua infak kita. Allah SWT menegaskan akan menambah rezeki dan karunia bagi orang-orang yang berinfaq di jalan Allah. “… dan barang apa yang kamu nafkahkan maka Allah akan menggantikan harta yang dishadaqahkan, memberkahinya dan menambahkan karunia-Nya”. (Saba’34:39). Rezeki dalam bentuk pelbagai bentuk. Bukan hanya pada wang ringgit, anak pun rezeki juga. Mana lah tahu, doa yang kita tagih dari mereka supaya dimudahkan urusan zuriat termakbul dengan asbab masinnya mulut salah seorang yang kita ziarahi’ Nasihat Muad’z.

“Huhu… baik boss. Kalau kita meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, niscaya Allah melipat gandakan balasannya kepada kita dan mengampuni kita. Dan Allah Maha Pembalas Jasa lagi Maha Penyantun.”(64:17)’ ‘Ain mengakui kebenaran kata-kata suaminya.

‘ok, sayang. Sekarang tolong ambil Galaxy tab dan update program Musafir Cinta kita’ Muadz mengarah lembut

‘Ain mengambil Galaxy tab dan mengemaskini program ziarah mereka.

‘Erm… keluarga yang dah kita ziarah Mak chak muazzah, Pak Tam ahya’, Pak jang dhu, Pak su Adi, Pak cik Malik, Pak lang akhiq, Mak teh timah, Ayah cho, Mak yang hanum, Mak yah robiah, Mak su salwah, Wak dot, Pak Cik Sham , Makcik Mimi, Pak Long Arshad, Wak Sahar, Mak Jang Pah, Pakcik Syam, Mak Su Lia. Yang berbaki belum diziarahi Mak Ngah Zizah dan Wak Ju’ Ain melaporkan.

‘ok, jadi nanti kita exit Ipoh-Tanjung Rambutan pergi rumah Mak Ngah Zizah dan insyaAllah Isyak kita sampai di Chikus, singgah rumah Wak Ju’ Muadz memberi arahan.

Alhamdulillah.

“Segala puji bagi Allah,Maha suci Allah yang menyediakan kenderaan ini untuk kemudahan kita dan kami tidak terdaya menguasainya, dan sesungguhnya kepada Tuhan kitalah, kita akan kembali. Dengan Nama Allah yang tiada mudharat sesuatu diatas di bumi dan dilangit dengan NamaNya dan Dialah yang Maha Mendengar lagi maha Mengetahui'”

Opss, satu lagi doa yang bermakna dan tidak boleh tertinggal:

Rabbana hablana min azwajina wadzurriyatina qurrata a'yun waj'alna lil muttaqina imama : wahai tuhan kami, kurniakanlah pada kami dari pasangan kami serta ZURIAT kami ketenangan/ketenteraman, dan jadikanlah kami imam bagi orang2 yg bertaqwa :)
(QS. 25 : 74)




Amin

No comments:

Post a Comment